Thursday, October 8, 2015

#1 Matang Melalui Masa




Bismillah. 

Aku rasa aku ini orangnya matang melalui masa, dan persekitaran. Hanya apabila masa berlalu, hari berganti hari, minggu berganti minggu dan seterusnya baru aku bisa memaknai matang. Lebih menghargai kehidupan. Lebih menghargai mereka yang menyayangi dan disayangi.


Kadang-kadang mahu juga memukul kepala sendiri. Mengapa dulu masih buta daripada melihat kebaikan waktu itu. Mengapa dulu masih pekak daripada mendengar cerita-cerita pengalaman orang dulu, supaya aku lebih pantas matang. Tapi biasalah, itu cerita dulu. Dulu, yang tidak mungkin diputarkan kembali waktu. 


Begitu lah kita manusia, kan. Bila ada dipersiakan , bila tiada baru ditangiskan. Kepergian waktu. Begitu juga sekarang, aku teruskan kehidupan. Tanpa aku sedar, apa aku akan lebih matang pada masa akan datang. Dan aku meniti kehidupan, tanpa aku tahu bila aku akan pulang. Iya,kan… masa kan kita tahu bila tarikh dan waktu ajal akan datang? Tidak sama sekali. Siapa-siapa pun tidak tahu. Tapi waktu itu wujud sedari dulu. 

Persekitaran yang baik kadangnya tidak menjadikan aku baik. Aku ini orangnya egois. Sukakan cabaran. Apa yang orang lain ada, tak semestinya aku perlu ada. Baik itu dari satu sudut, mungkin aku akan jauh daripada rasa dengki yang membinasakan. Tapi yang kurangnya, aku tiada rasa cemburu. Cemburu melihat kebaikan orang , atas alasan aku juga punya kebaikan yang orang lain tidak ada.

Aneh, bukan? Eheh… itu namanya sombong. Mana boleh kita hisab (kira) akaun pahala sendiri. Ingin mengurang yang itu, kerana aku sudah lebih yang ini. Yang sudah lebih itu, entah-entah tiga per empat saja sudah hangus nilai dek kerana kurang ikhlas dan kurang istiqomah,kan?

Buang masa kau kira nilai. Sepatutnya kaukira dosa yang bertimbun. Cukup sudah timbangan dosa bertimbun itu untuk kautempah neraka Tuhan,kan? Semoga Allah swt mengampunkan segala dosa kita. Dosa pahala usah dikira banyak mana, sepatutnya kita ambil kira kepada siapa kita dedikasikan kedua-duanya. 

Moga aku makin cinta pada Tuhan, semakin beredarnya waktu dan usia aku. Yang aku bakal tinggalkan nanti. Dan moga hidup ini tidak sia-sia. Bukan sekadar menumpang nyawa, tapi biarlah menghias persada dunia.. Amin. 

#Doakan_Aku_Jadi_Alim
#Yang_Tunduk_Demi_Akhirat

No comments:

Post a Comment