Friday, January 8, 2010

ilmu itu pelita hidup////

Jangan Malu Menuntut Ilmu


عَنْ أَبِي وَاقِدٍ اللَّيْثِيِّ : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَمَا هُوَ جَالِسٌ فِي الْمَسْجِدِ وَالنَّاسُ مَعَهُ إِذْ أَقْبَلَ ثَلَاثَةُ نَفَرٍ فَأَقْبَلَ اثْنَانِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَذَهَبَ وَاحِدٌ قَالَ فَوَقَفَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَمَّا أَحَدُهُمَا فَرَأَى فُرْجَةً فِي الْحَلْقَةِ فَجَلَسَ فِيهَا وَأَمَّا الْآخَرُ فَجَلَسَ خَلْفَهُمْ وَأَمَّا الثَّالِثُ فَأَدْبَرَ ذَاهِبًا فَلَمَّا فَرَغَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ عَنْ النَّفَرِ الثَّلَاثَةِ؟ أَمَّا أَحَدُهُمْ فَأَوَى إِلَى اللَّهِ فَآوَاهُ اللَّهُ وَأَمَّا الْآخَرُ فَاسْتَحْيَا فَاسْتَحْيَا اللَّهُ مِنْهُ وَأَمَّا الْآخَرُ فَأَعْرَضَ فَأَعْرَضَ اللَّهُ عَنْهُ.


Maksud Hadith :

Daripada Abi Waaqid Allaithy R.A, sesungguhnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam ketika mana Baginda sedang duduk di dalam masjid bersama-sama dengan kumpulan manusia (para sahabatnya dalam majlis ilmu)
, tiba-tiba datang tiga orang, lalu dua orang terus menyertai majlis Rasulullah salallahu alaihi wa sallam dan seorang lagi pergi begitu sahaja(tanpa menyertai).Lalu kedua-dua orang itu berdiri (dekat halaqah), maka salah seorang daripada kedua itu melihat ada ruang kosong di dalam halaqah ilmu tersebut lalu dia duduk di situ, manakala yang keduanya hanya duduk jauh di belakang mereka dan manakala yang ketiga pula terus memalingkan punggung dan beredar pergi. Maka apabila Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam selesai ( memberi pengajian),
lalu Baginda bersabda :
Mahukah kalian aku khabarkan tentang hal orang bertiga itu? Maka yang pertama itu dia bersungguh-sungguh untuk mencari ilmu, maka Allah melapangkan tempat untuknya, manakala yang kedua itu dia berasa malu ( tidak bersungguh-sungguh), maka Allah juga malu daripadanya(tidak memberinya ilmu yang banyak) dan yang ketiga itu dia berpaling dari Allah, maka Allah juga berpaling daripadanya (tidak mengendahkannya).

Hadith riwayat Al-Bukhari no: 64 , dengan lafaz daripadanya.



Keterangan ringkas:-

Orang yang hendak mendapatkan ilmu itu mesti bersungguh-sungguh memberikan perhatian kepada ilmu. Hendaklah dia berusaha semampu mungkin dengan daya yang dimilikinya untuk mendapatkan ilmu. Jangan malu untuk belajar dan jangan malas. Seseorang itu hendaklah mempunyai hati yang cekal dan tabah. Sentiasa menggunakan kesempatan yang ada untuk menambahkan ilmu. Tidak perlu disuruh untuk belajar tetapi dia memang sentiasa siap sedia untuk belajar menimba sebanyak mungkin ilmu apabila ada kesempatan. Maka dengan kerajinan dan perhatian yang tinggi itu dia akan dapat mengumpulkan ilmu sebanyak mungkin.


Adapun mereka yang malas, mudah patah semangat, tidak berghairah dan sentiasa menunggu dorongan daripada orang lain, maka orang yang seperti ini jarang sekali dapat berjaya dalam usahanya mencari ilmu.

Jadi, sama-samalah kita betulkan niat, semaikan azam, dan bina semangat yang tinggi untuk berusaha mencari ilmu. Insya Allah.


Sumber
: Artikel ini disunting dan diolah daripada buku Empat Puluh Hadith Kelebihan Ilmu dan Ulama karya Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam.

No comments:

Post a Comment